UMUM
Apakah jenis aduan awam yang boleh dibuat kepada Majlis Daerah Telupid?
Majlis Daerah Telupid menerima aduan awam berkaitan perkara berikut:
• Pengurusan Sisa dan Kebersihan: Sampah tidak dikutip, tong sampah penuh atau rosak, pembakaran terbuka serta premis perniagaan yang kotor dan boleh menjejaskan keselamatan serta kesihatan awam.
• Penyelenggaraan: Lampu jalan rosak, longkang tersumbat, pagar atau taman awam rosak, serta masalah air di kawasan tempat peniaga berjualan.
• Kawalan Haiwan: Haiwan liar berkeliaran dan anjing terbiar.
• Kerosakan Fasiliti & Harta Awam: Kerosakan tandas awam, papan tanda hilang atau rosak, vandalisme.
Bagaimanakah cara untuk membuat aduan kepada Majlis Daerah Telupid?
Orang awam boleh mengemukakan aduan melalui saluran berikut:
• Kaunter Majlis Daerah Telupid.
• Talian telefon rasmi yang boleh dirujuk di laman web rasmi Majlis Daerah Telupid.
• Melalui surat atau e-mel rasmi Majlis Daerah Telupid.
Saya ingin mengadakan program atau majlis di kemudahan Majlis Daerah Telupid. Apakah prosedur yang perlu diikuti?
Penggunaan kemudahan awam seperti Dewan Serbaguna, Dataran, atau Padang adalah tertakluk kepada prosedur berikut:
1. Pemohon boleh datang ke kaunter Majlis Daerah Telupid atau menghubungi Majlis Daerah Telupid menggunakan talian rasmi bagi menyemak kekosongan tarikh.
2. Pemohon perlu membuat surat rasmi serta membuat bayaran yuran dan deposit yang ditetapkan.
3. Surat kelulusan rasmi mesti diperoleh sebelum program atau majlis dijalankan.
4. Permohonan hendaklah dibuat seminggu lebih awal.
5. Pemohon bertanggungjawab menjaga kebersihan, keselamatan dan mengelakkan sebarang kerosakan harta awam.
Apakah tindakan yang akan diambil sekiranya kemudahan awam digunakan tanpa kebenaran?
Sebarang penggunaan kemudahan awam tanpa kelulusan bertulis daripada Majlis Daerah Telupid boleh dikenakan:
• Kompaun (denda).
• Program atau majlis diarahkan dihentikan oleh Pegawai Penguatkuasa MDTel.
Tindakan ini diambil selaras dengan undang-undang kecil yang sedang berkuat kuasa.
LESEN JAJA
Siapakah yang perlu memohon Lesen Jaja?
Semua individu yang menjalankan aktiviti perniagaan makanan atau barangan sama ada secara statik atau bergerak di kawasan awam perlu memohon Lesen Jaja. Ini termasuk penjaja yang berniaga di gerai tepi jalan atau di tapak tetap seperti penjual sayur-sayuran, buah-buahan, pakaian dan lain-lain.
Apakah peraturan utama yang ditetapkan oleh Majlis Daerah Telupid kepada penjaja?
Majlis Daerah Telupid menetapkan beberapa peraturan utama yang perlu dipatuhi oleh penjaja antaranya:
• Lokasi perniagaan yang dibenarkan.
• Saiz dan susun atur gerai.
• Waktu operasi perniagaan.
• Tahap kebersihan serta pengurusan sisa.
• Sijil pengendalian makanan dan kad kesihatan bagi peniaga yang ingin menjual makanan dan minuman.
Kegagalan mematuhi peraturan yang ditetapkan boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil.
Berapakah tempoh sah Lesen Jaja dan bagaimanakah proses pembaharuannya?
Lesen Jaja perlu diperbaharui setiap tahun. Pembaharuan boleh dibuat dengan menjelaskan bayaran yuran di Kaunter Majlis Daerah Telupid mengikut jenis perniagaan dan lokasi yang diluluskan.
LESEN OPERASI
Siapakah yang perlu memohon Lesen Operasi (Lesen Niaga) daripada Majlis Daerah Telupid?
Semua individu atau syarikat yang menjalankan perniagaan di premis tetap dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Telupid hendaklah memohon Lesen Operasi (Lesen Niaga) yang sah. Pemohon juga perlu memastikan premis atau bangunan perniagaan adalah sedia digunakan sebelum membuat permohonan.
Bilakah Lesen Operasi perlu dipohon?
Permohonan Lesen Operasi hendaklah dibuat sebelum memulakan sebarang aktiviti perniagaan. Perniagaan tanpa lesen adalah tidak dibenarkan dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Apakah tempoh sah Lesen Operasi Majlis Daerah Telupid?
Lesen Operasi adalah sah untuk tempoh satu (1) tahun dan perlu diperbaharui setiap tahun sebelum tarikh tamat tempoh.
MYKIOSK
Apakah tujuan MyKiosk ini diwujudkan?
MyKiosk diwujudkan bagi membantu peniaga tempatan khususnya peniaga asal Telupid yang ingin menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan dalam sektor perniagaan.
Adakah peniaga wajib menggunakan kiosk yang disediakan oleh Majlis Daerah Telupid?
Ya, semua peniaga yang berniaga di tapak awam di bawah seliaan Majlis Daerah Telupid wajib menggunakan kiosk atau gerai yang disediakan oleh pihak Majlis Daerah Telupid. Ini bertujuan memastikan keseragaman, keselamatan, dan tahap kebersihan yang ditetapkan dipatuhi.
Bolehkah peniaga memilih lot tapak kiosk mengikut kekosongan?
Pemilihan lot kiosk adalah bergantung kepada kekosongan dan kelulusan Majlis Daerah Telupid. Peniaga boleh menyatakan pilihan tetapi pihak Majlis Daerah Telupid mempunyai hak untuk menempatkan peniaga di lot yang sesuai bagi memastikan pengurusan tapak yang teratur, keselamatan dan kemudahan awam terpelihara.
CUKAI PINTU
Apakah itu cukai pintu?
Cukai Pintu adalah cukai yang dikenakan ke atas pemilik dan penghuni pegangan berkadar yang terletak di dalam kawasan bidang kuasa sesebuah Majlis.
Siapakah pembayar cukai pintu?
Pemilik mana-mana hartanah dalam kawasan Majlis Daerah Telupid termasuk rumah, bangunan atau stesen servis wajib membayar Cukai Pintu. Contohnya, pemilik bangunan atau kuarters seperti kawasan SEDCO, LPPB, SESB serta Taman Telupid Villa adalah bertanggungjawab membayar cukai tersebut.
Bilakah cukai pintu perlu dibayar?
Cukai pintu perlu dibayar setahun sekali sahaja.
Dikemaskini pada 18/12/2025
![]()
